Suatu petang, sesudah menunaikan sembahyang Asar, Nabi Muhammad saw mengajar ilmu kepada sahabat-sahabatnya di masjid. Semasa beliau sedang asyik mengajar tiba-tiba, beliau berhenti sejenak. Semua sahabat tertanya-tanya.
“Dari arah ini, datang calon penduduk syurga, ’’ kata Nabi Muhammad sambil menuding jari ke arah yang dimaksudkan.
Semua mata tertumpu ke arah yang ditunjukkan Nabi Muhammad itu. Masing-masing mahu mengenali, siapakah gerangan orang itu. Tidak lama kemudian, seorang lelaki datang dari arah yang ditunjukkan. Seorang lelaki dusun. Lelaki itu masuk ke majlis Nabi Muhammad sambil memberi salam hormat dan bersembahyang asar. Selepas itu, dia terus pulang. Semua orang memerhatikan sahaja gelagatnya.
Keesokan harinya, Nabi Muhammad memberitahu hal yang sama. Lelaki itu juga yang datang. Dia tetap berkelakuan seperti semalam. Masuk hari yang ketiga, Nabi Muhammad tetap memberitahu hal yang sama. Ternyata, lelaki itu jugalah yang datang dan kelakuannya sama seperti hari-hari yang sebelumnya.
Kali ini, salah seorang sahabat Nabi Muhammad cuba mengekorinya dari jauh. Dia mendapati lelaki itu berasal dari desa yang bernama Sanah. Desa yang terpencil. Dia terus mengekori lelaki itu hingga ke rumah. Beliau mengambil keputusan menemuinya. Dia pun mengetuk pintu dan memberi salam hormat kepadanya. Lelaki itu menyambutnya dengan gembira.
“Saudara tetamu saya. Masuklah, ’’ katanya dengan mesra.
Sahabat Nabi Muhammad itu menerima pelawaannya dengan mesra. Dia segera masuk sebagai tetamu. Selama itu jugalah dia cuba mengenali lelaki itu dengan lebih dekat. Dia mendapati lelaki dusun itu biasa-biasa sahaja. Sahabat Nabi Muhammad itu berasa hairan.
“ Saudara, apakah keistimewaan saudara? Nabi Muhammad mengatakan saudara adalah calon penghuni syurga,’’ tanya sahabat Nabi Muhammad ingin tahu.
Lelaki itu menundukkan kepalanya sebentar kemudian menoleh ke arah sahabat Nabi Muhammad.
“Saya seperti yang saudara lihat selama tiga hari ini. Tetapi saya sentiasa menjaga hati saya daripada pengaruh kejahatan dan kedengkian kepada sesiapapun juga,” katanya merendah diri.
Kagum sahabat Nabi Muhammad mendengarnya. Penjagaan hati itulah yang menjadikan dirinya istimewa. Seorang penghuni syurga.
“ Bertuah sungguh saudara,” sahut sahabat Nabi Muhammad itu dengan gembira.
Begitulah betapa besarnya pengaruh hati dalam menentukan di mana kedudukan kita pada hari kebangkitan nanti. Oleh itu, sebagai pengajaran untuk semua pembaca artikel ini, sama-samalah kita menjaga hati kita daripada cepat menaruh syak wasangka, iri hati, dan mendendami manusia...
Tanamlah sentiasa sifat husnuzzon sesama manusia agar kita sentiasa berada di bawah naunganNya.. ..Amin...
Post a Comment